IPOH 30 Ogos – Perarakan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini akan tetap diteruskan, walaupun terdapat kerosakan serius persiapan akibat kejadian ribut petang ini.
Menteri Besar Saarani Mohamad. berkata, majlis esok akan berjalan mengikut jadual selepas agensi terlibat memberi komitmen memperbaiki kerosakan dan menyediakan semula persiapan.
“Seperti kita tahu, persiapan seminggu lalu terjejas, khemah diterbangkan angin kencang, namun kita yakin usaha membina semula akan siap malam ini dan majlis akan diteruskan esok,” katanya yang melawat lokasi kejadian malam ini.
Beliau berkata, warga Perak juga tidak perlu bimbang dan dijemput hadir ke sambutan esok untuk menunjukkan semangat patriotik mereka.
Kira-kira pukul 5.40 petang tadi ribut dan hujan lebat melanda beberapa kawasan di Sungai Senam dan Kinta menyebabkan kejadian pokok tumbang termasuk kerosakan persiapan sambutan yang dijadualkan bermula 7 pagi esok.
Perarakan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak dijadualkan esok dengan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijangka berangkat ke majlis berkenaan.
Sementara itu Saarani menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri dan agensi terlibat yang pantas bertindak memperbaiki kerosakan.
Katanya, walaupun terdapat halangan dan rintangan komitmen serta kerjasama pelbagai agensi amat membanggakan.
Kejadian ribut menyebabkan beberapa khemah bersaiz besar yang disediakan termasuk di pentas utama bagi menempatkan tetamu kenamaan dan khemah tetamu jemputan ranap selain pokok serta tiang lampu jalan tumbang di kawasan berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima laporan awal berhubung kejadian pokok tumbang melintangi jalan akibat angin kencang di kawasan sekitar kira-kira pukuk 5.45 petang, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
