KUALA TERENGGANU 15 Ogos – Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Razali Idris menjadi calon tunggal mewakili parti itu dalam senarai 10 Exco kerajaan negeri Terengganu yang baharu.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Exco bersama sembilan ADUN mewakili Pas pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Syarqiyyah di sini hari ini.
Pada PRN Sabtu lalu, Razali menewaskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said yang juga penyandang kerusi DUN itu sejak 1990 dengan majoriti 3,758 undi.
Selain Razali, tiga lagi ADUN yang sebelum ini menjadi Timbalan Exco kini menjawat jawatan Exco penuh.
Mereka adalah Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Maliaman Kassim (Ajil) dan Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh).
Maliaman sebelum ini Timbalan Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi; Hishamuddin (Timbalan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan) dan Muhammad Khalil (Timbalan Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran).
Enam Exco dikekalkan adalah ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat; Dr Azman Ibrahim (Jabi); Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam); Ariffin Deraman (Alor Limbat); Hanafiah Mat (Chukai) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).
Dua Exco digugurkan adalah Dr Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Mohd Nor Hamzah (BukitPayung), manakala dua lagi iaitu Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang) masing-masing tidak bertanding pada PRN kali ini.
Dr Alias yang kini Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Tengku Hassan melepaskan kerusi masing-masing kerana ingin memberi laluan kepada muka baharu.
Pada PRN Sabtu lalu, Pas kekal mentadbir kerajaan negeri selepas menyapu bersih semua 32 kerusi DUN di Terengganu.
