Takkan berlaku pertembungan bapa, anak

BACHOK 6 Julai – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa. menegaskan tidak akan berlaku pertembungan antara beliau dengan anaknya bagi merebut kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani, disifatkan sebagai penyokong kuatnya.

“Tak payah kalau-kalau (pertembungan merebut kerusi), itu tidak akan berlaku, percayalah. Anak saya adalah penyokong kuat saya.

“Kita lihat perkembangannya, tunggu dan lihat nanti,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan di sini, malam tadi

Mengikut laporan, Afiq Amani adalah antara 155 nama yang dihantar Barisan Nasional (BN) Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan, 12 Ogos ini.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Zawawi Othman, mengesahkan nama Afiq Amani diangkat pimpinan UMNO Bahagian untuk disenarai sebagai calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.

Zawawi dilaporkan berkata sekiranya Afiq Amani tersenarai sebagai calon di mana-mana kerusi DUN, maka terpulang kepada Annuar sama ada mahu ‘menyembelih’ anaknya sendiri.

Ditanya mengenai namanya yang dijangka dicalonkan Pas pada PRN kali ini, Annuar sedia mempertimbangkannya dan menyifatkan perkara itu sebagai amanah parti.

“Saya ahli baharu dan kalau boleh berilah laluan kepada ahli yang lebih lama. Saya tak jadi calon pun tiada masalah, saya serah kepada pucuk pimpinan Pas.

“Saya sudah banyak kali jadi calon, kalau ada orang lain jadi calon, okaylah dan saya tidak menjadi calon pun tidak mengapa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment