Zahid sokong Mat Sabu serah gaji

AYER KEROH 11 Nov. – Ahmad Zahid Hamidi menyokong hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mahu menyerahkan gaji bulanannya sebanyak RM11,900 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kesaksamaan undang-undang.

Timbalan Perdana Menteri, bagaimanapun berharap sumbangan itu turut merangkumi elaun yang diterima Mohamad sebagai menteri.

“Bagus… cadangan yang baik dan saya harap bukan sahaja gaji tetapi elaun dia (Mohamad Sabu). Elaun beliau juga harus diberikan kalau itu niat untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Khatam Perdana Program Pra Tahfiz dan Libat Urus Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAK) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Amanah mengumumkan akan menyerahkan gaji bulanannya kepada NGO yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan undang-undang sehingga pembubaran Parlimen bagi penggal ini.

Tegas beliau prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang tidak boleh dikompromi atas faktor kedudukan, pengaruh politik atau hubungan kekeluargaan.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berpuas hati dengan perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung dalam suasana tenang.

“Saya bersyukur kerana semua parti-parti yang bertanding menghormati tataetika dengan mempunyai tatasusila kempen yang baik.

“Walaupun keadaan (PRN Melaka) ini sangat-sangat tenang berbanding dengan kempen-kempen PRN lain (PRN Negeri Sembilan, PRN Johor, PRN Sabah) atau Pilihan Raya Kecil… namun kita mengharapkan di hari akhir (14 November) ketika pengundian dijalankan, tidak ada sebarang peristiwa yang tidak diingini akan berlaku,” katanya.

Diminta mengulas mengenai penerimaan manifesto BN-Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan rakyat Melaka, Ahmad Zahid berkata, gabungan itu menawarkan 113 perkara kepada pengundi yang mengambil kira keperluan masyarakat pelbagai peringkat umur, kaum, agama dan budaya.

“Melaka adalah negeri yang ditadbir dengan baik selama ini, dan kita harap kepercayaan dan juga sokongan (pengundi) dapat diberikan kepada calon-calon BN yang kita ketengahkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment