Pahang, Andalusia taja umrah 79 asnaf

PEKAN 2 Ogos  – Kerajaan negeri Pahang memilih 79 asnaf untuk menunaikan ibadah umrah melalui Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 dengan kerjasama syarikat pengendali umrah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, selain asnaf, ia juga melibatkan mualaf dan Orang Asli.

Katanya, pemilihan peserta umrah itu dilakukan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Beliau sebelum itu mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 di Ancasa Royale, di sini semalam.

Turut hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Mohamad Nizar Najib, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Sabariah Saidan, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.,  Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin;

Syed Ahmad berkata kerajaan negeri mengalu-ngalukan mana-mana agensi seperti Andalusia yang sanggup tampil ke hadapan memberikan sumbangan bakti kepada asnaf untuk menunaikan ibadah umrah.

Menurut beliau, di bawah program itu kerajaan negeri turut memberi sumbangan kepada peserta terpilih termasuk wang poket, visa, vaksin, dan juga pek bekalan makanan kering manakala urusan tiket dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh Andalusia.

Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, program ini adalah untuk membantu golongan asnaf yang ingin menunaikan umrah sekali seumur hidup, dan dalam masa yang sama dapat menjejakkan kaki ke Baitullah dan menziarahi Rasullullah SAW.

Beliau berkata hampir RM900,000 diperuntukkan bagi menaja 89 peserta dan pengiring di bawah program itu.

Ida Riswana juga berpuas hati dengan kerjasama kerajaan negeri terutama usaha selama hampir sebulan mencari asnaf yang belum pernah pergi umrah termasuk kesediaan  kerajaan negeri memilih juga dalam kalangan asnaf Orang Asli.

“Harapan kami kepada jemaah asnaf yang terpilih dapat beribadah sebaik mungkin dan dapat membawa balik pengertian dan ilmu bahawa Islam itu indah.

“Saya percaya dengan kerjasama bersama agensi kerajaan program-program seperti ini dapat memberi banyak lagi peluang kepada golongan asnaf dan kurang mampu untuk menunaikan ibadah umrah.

“Doakan selalu semoga Andalusia bergerak ke depan dan jangan lupa doakan juga ada lagi peluang untuk asnaf negeri Pahang pada masa akan datang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment