BAGAN 29 Julai – Menjelang hari penamaan calon esok, seorang lagi pemimpin DAP di negeri ini mengumumkan keluar parti itu dan mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
M Satees, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam akan mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum lalu.
Keputusan Satees itu menyusul 24 jam selepas bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel mengambil tindakan sama dan bakal bertanding atas tiket Bebas di DUN Prai.
Bercakap pada sidang media hari ini, Satees berkata, keputusan itu sebagai referendum kepada pimpinan parti yang dirujuknya sebagai ‘maharaja’ yang didakwa cuba merosakkan pentadbiran kerajaan negeri.
Satees yang kelihatan sebak ketika mengumumkan keluar parti menegaskan, beliau terpaksa mengambil keputusan itu untuk menyelamatkan Pulau Pinang daripada kerosakan akibat ‘tyrant’ (penzalim), diktator dan ‘maharaja’.
“Sukar untuk saya buat keputusan ini, sangat sedih untuk tinggalkan DAP selepas menganggotainya selama 15 tahun. Saya harap rakan-rakan dalam DAP tidak membenci saya.
Saya tidak memusuhi anda semua, perjuangan saya hanya untuk menundukkan satu individu sahaja, iaitu ‘maharaja’,” kata Satees.
Katanya, beliau sudah menghantar surat memaklumkan tindakannya keluar parti kepada Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pagi ini.
Walaupun meninggalkan DAP, Satees berkata, beliau akan terus menyokong kepemimpinan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Mungkin ada yang kata saya letak jawatan (keluar dari DAP) sebab kecewa tak dapat pencalonan (untuk kerusi DUN Bagan Dalam) dan ramai pihak termasuk kawan rapat serta mentor saya, Dr. P. Ramasamy (bekas ADUN Perai) minta saya ‘consider’ (pertimbang) keputusan ini (keluar parti).
“Jika saya terus berada dalam parti, tangan saya seperti akan terus diikat dan saya tidak ada kebebasan untuk bercakap. Tapi, ini juga tidak bermakna saya bencikan DAP.
“Saya bukan mahu melawan parti tetapi (melawan) ‘maharaja’ (dalam DAP) yang ‘memperlakukan’ Pulau Pinang ini seperti milik bapanya. Maka, sebab itu jugalah saya pilih tema ‘Penang Kita Punya’ untuk kempen saya nanti,” katanya.
Selasa lalu, DAP mengumumkan 19 calonnya untuk PRN, dengan tujuh bekas ADUN digugurkan, termasuk lima bekas Exco, antaranya bekas Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy.
Ramasamy dalam reaksinya menyifatkan wujud ‘tangan ghaib’ di sebalik pemilihan calon parti itu untuk PRN dan mendakwa penyandang kerusi DUN yang menyokong Ketua Menteri, Kon Yeow kekal menerajui Pulau Pinang digugurkan.
Mengenai peluangnya, Satees berkata, kalah atau menang pada PRN nanti bukan menjadi persoalan kerana beliau bertanding untuk memberi mesej kepada penyokong serta pengundi agar menolak kepemimpinan ‘maharaja’ berkenaan.
“Saya tahu kawan-kawan saya (dalam DAP) tidak boleh menyatakan sokongan secara terbuka, tapi tetap bersetuju dengan saya (untuk menentang ‘maharaja’ dalam DAP).
“Sebenarnya perkara ini umpama kita sedang memerangi satu sel kanser. Kadang-kadang kita perlukan pembedahan dari luar untuk membunuh ‘sel’ tersebut,” katanya.
Pada masa yang sama, Satees menasihati penyokong serta ahli DAP yang sependapat dengannya supaya tidak mengambil langkah keluar parti kerana tindakan itu boleh mengukuhkan serta menguatkan pengaruh ‘maharaja’ tersebut.
“Ini antara saya dengan dia. Yang lain boleh kekal dalam parti untuk terus menyokong Kon Yeow pada pemilihan parti Mac tahun depan,” katanya.
