Dr M ramal PN menang 5 – 1

LANGKAWI 28 Julai – Dr Mahathir Mohamad menjangkakan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin menang mudah 5-1 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri, 12 Ogos ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, gabungan parti Pas, Bersatu dan Gerakan itu pimpinan mempunyai harapan cerah menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Saya berpendapat PN mempunyai potensi baik iaitu mereka mungkin menang semua negeri di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu), selain di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Cuma mereka (PN) tidak boleh tembusi di Pulau Pinang,” katanya selepas berucap pada Perhimpunan Hari Perniagaan Sosial Ke-13 di Pelangi Beach Resort & Spa di sini, hari ini.

Memetik laporan BH, Dr Mahathir berkata, ramalan itu dibuat berdasarkan perubahan sentimen yang diperlihatkan dari kalangan pengundi warga emas, khususnya orang Melayu di luar bandar.

“Sentimen pengundi Melayu kini tidak sama ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu kerana kebanyakan mereka kini berasa curiga terhadap masa depan.

Mereka lihat kedudukan (ekonomi) tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan, pada masa sama tidak dapat petunjuk atau cadangan kerajaan bagaimana untuk membawa kemajuan kepada mereka,” katanya.

Mengulas kemungkinan terdapat lambakan calon Bebas pada PRN, beliau berkata, jika perkara itu berlaku memperlihatkan ada pihak cuba memperlekehkan proses pilihan raya.

“(Jika ada lambakan calon Bebas) nampak pilihan raya ini macam (perkara) main-main dan tak serius. Apa boleh buat oleh individu yang menjadi calon Bebas, saya nampak dia tak boleh buat apa pun.

“Cuma (kalau menang) boleh pergi Parlimen dan bercakap, tapi tak ada kesan sama sekali, kerana tidak mewakili suara ramai sebab pilihan raya untuk membentuk kerajaan, bukan nak jadi wakil rakyat semata-mata,” katanya.

Related posts

Leave a Comment