Dewan Rakyat terima notis kekosongan

KUALA LUMPUR 14 Julai – Dewan Rakyat sudah menerima notis makluman mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.

Kekosongan itu berlaku berikutan penyandangnya, Ahmad Amzad Mohamed, tidak mengemukakan rayuan bagi keputusan pembatalan kemenangan itu selaras Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang berakhir pada Selasa lalu.

Menurut Johari, pemakluman berkenaan dibuat susulan keputusan Hakim Pilihan Raya yang mengisytiharkan pembatalan kemenangan Ahmad Amzad pada 19 November lalu.

“Mahkamah Tinggi, Selasa lalu juga mengeluarkan perakuan mengisytiharkan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 19 November 2022, adalah terbatal.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu di Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-15.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Firuz Jaffril dilapor membenarkan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.

Keputusan dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu,  Ahmad Said dilapor berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad memenangi kerusi itu selepas memperoleh 63,016 undi, menewaskan Mohd Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

Sementara itu SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 18 Julai bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha SPR,  Ikmalrudin Ishak, berkata ia selepas pihaknya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 November lalu.

Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dan membincangkan urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan… satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Related posts

Leave a Comment