TANJONG 13 Julai – Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kini dapat memberi fokus kepada kempen berikutan keputusan DAP mengekalkan Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri.
Kon Yeow yang baru sepenggal memimpin Pulau Pinang mengakui khabar angin sebelum ini berkaitan calon Ketua Menteri agak mengganggu, dan berharap keputusan terkini dihormati untuk terus melangkah ke hadapan.
Beliau ketika ditemui berkata, keputusan itu juga adalah satu pengiktirafan kepada diri dan pentadbirannya selama ini selepas Lim Guan Eng menamatkan dua penggal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Saya berasa rendah diri dengan keputusan dibuat itu. Sepanjang tempoh lima tahun pimpinan, saya hanya mahu melakukan kerja terbaik untuk rakyat, saya akan bekerja lebih keras dan berharap mendapat sokongan semua.
“Khabar angin sebelum ini (calon Ketua Menteri) agak mengganggu, tetapi ia sudah menjadi sejarah. Saya juga berasa bertuah kerana orang ramai menyokong kepemimpinan saya,” katanya selepas merasmikan pembukaan Commerz Trade Services Sdn Bhd, di sini.
Sebelum ini, terdapat spekulasi sekurang-kurangnya lima nama termasuk Kon Yeow disebut sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang, jika gabungan PH dan BN berjaya mempertahankan negeri terbabit pada PRN 12 Ogos ini.
Mereka yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang juga Timbalan Menteri Kewangan II; Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo; Exco Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Nama penyandang jawatan itu, Kon Yeow, juga tidak terkecuali daripada disebut-sebut mungkin kekal dengan jawatan itu. Malah, sebelum ini, sayap muda PH dan BN secara terbuka menyuarakan sokongan supaya Kon Yeow dikekalkan.
Bagaimanapun Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk menamakan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua sekiranya PH-BN memenangi PRN di negeri itu.
Jawatankuasa diketuai Loke yang turut dianggotai Guan Eng (Pengerusi Kebangsaan), Gobind Singh (Timbalan Pengerusi), Nga Kor Ming (Naib Pengerusi) dan M. Kulasegaran (Naib Pengerusi) sebulat suara menamakan Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal yang kedua.
Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah merestui keputusan tersebut sebagai Pengerusi PH.
Jawatankuasa juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar (major renewal) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk membentuk Kerajaan Negeri.
Kon Yeow berkata, dengan ketetapan itu seluruh jentera kini boleh fokus dalam menghadapi PRN.
“Ini kerana ketika adanya spekulasi, terdapat beberapa ketidakpastian. Namun saya kekal tenang dan kini dengan terhentinya spekulasi ini, seluruh jentera boleh menyimpan tenaga dan bersatu menghadapi PRN,” katanya.
Beliau berkata, besar harapannya untuk mengetuai PH-BN dalam PRN bagi meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu adalah kerajaan yang pro-rakyat, pro-perpaduan, pro-pembangunan dan pro-kesejahteraan rakyat.
Ditanya mengenai pembaharuan besar-besaran dalam barisan Exco kerajaan negeri yang mewakili DAP seperti mana disebut Loke sebelum ini, Kon Yeow berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian selepas parti memenangi pilihan raya yang berlangsung pada 12 Ogos ini.
“Kami belum menang lagi, mungkin perlu lihat kepada calon dulu untuk melihat senarai (calon) yang memenuhi aspirasi kepemimpinan neg
