KUALA LUMPUR 28 Jun – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa hasrat parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar tidak dilayan, malah diperlekehkan.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PH enggan melayan dan tidak memberikan maklum balas sedangkan kepemimpinan parti menghantar tiga surat memohon mengadakan pertemuan yang semuanya tidak diberi maklum balas.
Justeru, Syed Saddiq berkata, anggapan yang menuduh pihaknya ‘tergesa-gesa’ dan enggan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak berasas.
“MUDA seolah-olah diperlekehkan apabila Setiausaha Agung PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) menjawab bahawa beliau tidak ada masa untuk membaca surat-surat kami, walaupun pejabatnya pada mulanya bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan tetapi membatalkannya pada saat-saat akhir.
Secara peribadi saya telah cuba menghubungi Perdana Menteri dan pegawainya dengan pelbagai cara sama ada di dalam Parlimen, di luar Parlimen, melalui pesanan teks, dan sebagainya. Malangnya, tiada respons,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Syed Saddiq itu sebagai maklum balas kepada veteran DAP, Lim Kit Siang, yang menasihatkan MUDA tidak tergesa-gesa bertanding sendiri, sebaliknya perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kit Siang melalui dalam satu hantaran di blognya berkata, kepemimpinan MUDA sepatutnya mempertimbang semula keputusan mereka itu kerana PRN ini bagi membantu merintis masa depan politik negara, khususnya dalam melaksana beberapa perubahan yang direncana untuk menjadikan Malaysia lebih baik.
Syed Saddiq berkata, partinya tidak meminta jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti ramai yang ada dalam kerajaan hari ini, malah tidak meminta diberikan kontrak.
Sebaliknya, beliau berkata MUDA hanya inginkan pertemuan supaya mereka dapat mencadangkan jalan ke hadapan untuk membina Malaysia yang benar-benar bersifat harmoni dari sudut berbilang kaum, berbilang agama, berpendirian sederhana dan berpusatkan reformasi.
“MUDA berada di sini untuk memastikan masa depan Malaysia yang mampan dan membawa era politik baharu yang mana kepelbagaian diraikan dan kuasa dikembalikan kepada institusi berorientasikan rakyat dan bukan terpusat di tangan elitis politik.
“Saya setuju dengan pandangan Tan Sri (Kit Siang) mengenai Perikatan Nasional (PN) yang bermain naratif politik perpecahan dan perlunya ada alternatif.
“MUDA ingin menjadi alternatif progresif itu, bukannya menanam ketakutan, perpecahan dan berpaksikan partisan yang dimainkan oleh elitis politik,” katanya.
Ahli Parlimen Muar itu juga menegaskan beliau mahukan reformasi dilaksanakan sebagaimana diinginkan Kit Siang.
Beliau juga menyatakan kekecewaan kerana jawatan GLC masih dianggap sebagai ganjaran politik kepada elitis politik yang patuh dan taat.
Turut dibangkitkan Syed Saddiq kegagalan kerajaan memberikan peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen, masih wujud monopoli besar dan konsesi masih dipanjangkan tempoh masa, manakala undang-undang zalim masih wujud.
Beliau juga kecewa apabila kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘reformis’ hanya mendiamkan diri apabila timbul desakan pengampunan, penangguhan tanpa had atas pertuduhan jenayah Timbalan Perdana Menteri dan skandal untuk projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
“Saya bukan berada di sini untuk menjadi hakim, juri, dan pendakwa raya. Tolong jangan melaungkan Kedaulatan Undang-Undang sebelum pilihan raya, tetapi terus berdiam diri apabila berkuasa.
“Bahkan pembelaan terhadap integriti kehakiman seperti tidak bersungguh-sungguh. Institusi kehakiman kita ‘diserang’, namun ramai di dalam tampuk kuasa hari ini memilih untuk berdiam diri. Cukuplah,” katanya.
Syed Saddiq menegaskan penyertaan MUDA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menjadi suara hati nurani rakyat, memainkan peranan yang lebih besar sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan.
Beliau mengakui jalan ke depan akan mencabar bagi MUDA tetapi akan berusaha sebaik mungkin untuk mengubah Malaysia.
“MUDA perlu belajar dari banyak kekalahan. Pemimpin-pemimpin MUDA perlu mempunyai keberanian untuk memacu Malaysia maju,” katanya.
