Dr Mahathir tidak tanding PRN

SEPANG 28 Jun –  Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebaliknya mahu lebih aktif memberi sokongan dalam gerakan Proklamasi Melayu

Bercakap pada sidang media di sini, Dr Mahathir akan memberi sokongan dalam gerakan orang Melayu yang mahu bahagian mereka dalam negara ini.

“Mereka yang bimbang negara ini akan jadi milik orang lain, bukan lagi negara milik orang Melayu, tapi negara berbilang kaum yang menolak orang Melayu ke bawah dan jadi lebih miskin.

“Itu objektif saya dan bukan untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Enam negeri terbabit PRN yang dijangka Ogos depan, adalah Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai Perikatan Nasional (PN), selain Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, Dr Mahathir pernah menegaskan beliau tidak peduli berapa lanjut pun usianya untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.

Berusia 97 tahun, bekas Perdana Menteri yang ketika itu mengetuai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai pengerusi, dilaporkan berkata, beliau bukan tidak mahu melepaskan kerusi Parlimen itu, hanya mahu menggantikan kerajaan lebih baik di bawah pentadbirannya jika menang PRU.

Bagaimanapun pada PRU 19 November itu, Dr Mahathir menjadi antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu perlapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira, hanya mendapat 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam saingan lima penjuru.

Beliau mula bertanding pada 1964, dan memenangi kerusi Kota Setar dan pada PRU 1969, Dr Mahathir bertanding sekali lagi di kawasan sama, tetapi tewas kepada calon Pas.

Dr. Mahathir pernah disingkirkan daripada parti itu pada 26 September 1969 kerana mengkritik Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj

Selepas diterima kembali ke pangkuan UMNO pada 7 Mac 1972, Dr Mahathir bertanding dan menang pada PRU 1974 di kawasan Parlimen Kubang Pasu dan terus mempertahankan kerusi itu sehingga 2004.

Related posts

Leave a Comment