Penyokong UMNO disaran sokong Pas

KOTA BHARU 23 Jun –  Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah menyarankan  penyokong UMNO menyokong Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

Katanya, penyokong UMNO sudah tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menyokong Pas demi masa depan agama Islam dan kepentingan ummah.

“Jika nak tukar pemimpin, saya yakin mereka yang sedia ada dalam parti tidak berani untuk bersuara memandangkan mereka yang berani sudah habis dipecat,” katanya pada Program Sembang Santai bersama  Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera, di sini, malam tadi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu yakin sekiranya Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi PRN di enam negeri, ia memberi impak yang sangat besar kepada landskap politik negara.

“Sekarang pun kita dapat lihat kebimbangan Kerajaan Perpaduan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa turun padang jelajah di negeri yang akan mengadakan PRN.

“Justeru, tiada apa yang mustahil pada PRN nanti dan besar harapan kami supaya penyokong UMNO memberi sokongan kepada Pas,” katanya.

Sementara itu, Noh juga mendakwa UMNO kini sudah lemah dan hanya dilihat sebagai menumpang dalam PH sekali gus memberi kelebihan kepada PN.

“Apa yang penting adalah perpaduan ummah dan jika kita mahu perkuatkan, lebih eloklah kita sokong Pas kerana sudah terbukti berjaya menyatu padukan rakyat khususnya di Kelantan,” katanya.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, itu juga menegaskan masalah bekalan air bukan berlaku di Kelantan sahaja sebaliknya Selangor turut berdepan masalah sama,

Beliau turut menyifatkan masalah air dan Selangor bagaikan berpisah tiada meskipun Selangor sebuah negeri maju berbanding Kelantan.

“Bila sebut masalah air semua kaitkan dengan Kelantan sedangkan bukan Kelantan sahaja berdepan masalah itu, saya sendiri yang tinggal di Selangor dan masalah sama juga berlaku di negeri maju.

“Ketika saya menjadi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), saya terpaksa mengarahkan pihak bomba untuk bantu salurkan air dan sehingga kini masalah itu tidak selesai.

Begitu juga dengan bencana banjir. Siapa sangka Selangor tiba-tiba mendapat banjir kilat yang lebih teruk berbanding Kelantan. Justeru jangan memandang rendah kepada Kelantan dengan mengaitkan isu air dan banjir,” katanya.

Pada masa sama, Noh turut menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk memberi pertolongan dan bantuan kepada negeri tanpa mengira fahaman politik.

Related posts

Leave a Comment