SEPANG 23 Jun – Selepas 41 tahun bersama DAP, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu mengumumkan pengunduran daripada parti itu serentak pada hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-14 hari ini.
Dalam surat bertarikh 23 Jun kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu memohon pucuk pimpinan parti untuk menamatkan keahliannya berkuat kuasa esok (24 Jun).
“Saya melibatkan diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat sekolah menengah dan telah menjadi ahli DAP sejak 1982.
Namun selepas 41 tahun bersama DAP, banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu saya memohon untuk menamatkan keahlian saya bersama DAP,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap peluang dan keyakinan yang diberikan kepadanya.
“Segala peristiwa manis pahit, pengalaman suka duka dan pengetahuan yang dihulur oleh parti kepada saya selama 41 tahun berkhidmat dan berjuang bersama DAP.
“Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisme demokratik dan konsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’,” katanya.
