KUALA LUMPUR 16 Jun – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin antara yang menghadiri perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim petang tadi.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan peranan Khairy dalam perbincangan yang disifatkan Anwar sebagai usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.
Selain Khairy, turut hadir dalam perbincangan itu adalah bekas Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani.
“Alhamdulillah, petang tadi saya telah mengadakan perbincangan terkait hala tuju ekonomi negara antaranya bersama-sama ahli ekonomi, Datuk Seri Johari Ghani dan juga saudara Khairy Jamaluddin,” katanya melalui Facebook malam ini.
Turut hadir adalah Pengerusi Bersama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Nungsari Ahmad Radhi; Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Dr Noor Azlan Ghazali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Nor Azmie Diron.
Anwar berkata perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.
Beliau berkata, segala pandangan dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi Madani yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.
“Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.
“Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara.
“Namun kerajaan ini tekad dan akan bekerja keras untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan. Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata, tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat,” katanya.
