BUTTERWORTH 16 Jun – Buat kali pertama sejak pertandingan bermula pada tahun 1947, qari orang kurang upaya (OKU) penglihatan muncul sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.
Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, anak sulung daripada enam beradik dari Kelantan itu dipilih sebagai johan tilawah untuk tahun 1444H/2023M malam ini.
Johan bagi kategori qariah pula dimenangi Penolong Pegawai Islam Yayasan Islam Terengganu, Nor Hidayah Abd Rahman.
Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang masing-masing hadiah wang tunai RM20,000, selain piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.
Muhammad Qayyim, 25 dan Mor Hidayah, 32, turut melayakkan diri mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 20 hingga 26 Ogos nanti yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.
Naib johan pula dimenangi Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Johan Menunggu) dan qariah dari Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar, manakala tempat ketiga dimenangi qari dari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini dan qariah dari Johor, Nurul Nadiah Hashim.
Bagi kategori hafazan, peserta Johor, Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan diumumkan johan hafiz bagi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir, manakala peserta Sabah, Dian Karisma Mohd Japar dinobatkan johan hafizah.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, selain tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.
Untuk kategori 1 hingga 20 juzuk, hafiz dari Terengganu, Muhammad Fakhrurazi Yahaya dan hafizah dari Melaka, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dinobat johan.
Kategori 1 hingga 10 juzuk berserta tarannum pula diungguli hafiz dari Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Shari dan hafizah dari Melaka, Siti Nabilah Zamri.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak
Sementara itu, Negeri Sembilan muncul juara keseluruhan MTHQK.
MTHQK berlangsung enam hari di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (PICCA), Arena Butterworth, di sini, dirasmikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 11 Jun lalu dengan penyertaan 108 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri.
