Pembangkang desak Sunak adakah PRU

LONDON: Kepemimpinan Britain berubah lagi? Persoalan ini timbul apabila Ketua Pembangkang United Kingdom (UK), Keir Starmer menuntut pilihan raya umum diadakan apabila tiga Ahli Parlimen Parti Konservatif meletak jawatan.

Stamer yang juga pemimpin Parti Buruh dalam ciapan menerusi akaun Twitter miliknya memberitahu, Perdana Menteri Rishi Sunak “akhirnya mesti mencari tulang belakang, mengadakan pilihan raya dan membenarkan orang ramai bersuara mengenai kegagalan Tory selama 13 tahun,”.

“Keadaan ini mesti dihentikan. Orang ramai sudah cukup dengan kerajaan Tory yang mempunyai perdana menteri lemah dan tidak diundi oleh sesiapa pun,” katanya.

Mereka yang meletak jawatan termasuk bekas Perdana Menteri Boris Johnson, susulan siasatan melanggar perintah kawalan Covid-19 dengan mengadakan parti.

Johnson, 58 pada Jumaat lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen dan mendakwa dipaksa berbuat demikian oleh parti lawannya secara tertutup.

Beliau disiasat oleh jawatankuasa rentas parti sama ada dia sengaja berbohong kepada Parlimen berhubung parti yang diadakan ketika masih memegang jawatan.

Ketika jawatankuasa itu bersedia mendedahkan hasil dapatannya kepada umum, Johnson berkata mereka telah menghubunginya “Sebenarnya, mereka bertekad untuk mengenakan prosiding terhadap saya untuk menghalau saya keluar dari parlimen.”

Dengan keputusannya itu, Johnson dapat mengelak berlakunya pergaduhan yang memalukan untuk kekal sebagai Ahli Parlimen di kawasan Uxbridge dan South Ruislip di barat laut London di mana dia hanya memang majoriti tipis sekitar lebih 7,000 undi.

Johnson berkata amat menyedihkan untuk meninggalkan Parlimen buat masa ini, tetapi beliau sangat keliru dan terkejut kerana dipaksa keluar secara anti demokrasi dan berat sebelah.

Sebelum ini, salah seorang sekutu Johnson iaitu Nadine Dorries berhenti manakala Nigel Adams, meletak jawatan semalam sehingga memerlukan untuk mengadakan tiga pilihan raya kecil untuk kerajaan.

Pelbagai spekulasi timbul mengenai tindakan Johnson selepas ini sama ada beliau akan cuba bertanding menjadi Ahli Parlimen semula pada pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan tahun depan.

Untuk rekod pada Julai 2022, Johnson mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan pemimpin parti Konservatif dan pada September 2022 Liz Truss secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) ke-15.

Bagaimanapun Truss meletak jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas 45 hari menyusun strategi politiknya.

Berikutan itu, p Sunak, 42, dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri baharu Britain.

Beliau bukan saja menempa sejarah sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih yang pertama di Britain, malah merupakan pemimpin termuda menerajui pentadbiran negara ini dalam tempoh lebih 200 tahun.

Related posts

Leave a Comment