KOTA BHARU 12 Jun – Kali ini bukan isu banyak kerusi ditandingi tetapi jumlah yang perlu menang pada pilihan raya negeri (PRN) kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Menurut Mohamad, pembahagian kerusi calon parti Amanah menjelang PRN hampir selesai dan mencapai 90 peratus.
Katanya , untuk pilihan raya kali ini terdapat sedikit perubahan dari segi bilangan calon memandangkan ada pertambahan parti politik melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Pembahagian kerusi sudah 90 peratus selesai yang mana sebahagiannya lagi akan ada perundingan pada minggu ini…tak sama macam dulu, dulu kita tiga parti, sekarang empat (BN) jadi (kerusi) tidaklah sebanyak dulu.
Kali ini kita bertanding tak mahu jumlah kerusi banyak tetapi nak jumlah menang, jadi kena ada kerjasama yang baik,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis ramah mesra bersama pemimpin peladang di sini, malam tadi.
Mohamad berkata, pihaknya bersama parti komponen lain akan berusaha meraih undi di Kelantan terutama dengan menyasarkan pengundi luar.
Katanya, pengundi luar tidak merasai kesusahan sebenarnya yang dialami rakyat Kelantan terutama dalam isu air.
“Di Kelantan kita nampak mereka (Pas) peroleh dari pengundi luar yang mana pengundi luar ni dia tak merasai masalah air kerana selepas pulang mengundi, mereka balik (ke negeri luar).
“Kita harap pengundi luar boleh lihat kejayaan di tempat lain, sudah-sudah la asyik salahkan orang lain, kita akan fikir macam mana.
“Kita nampak kerajaan negeri masih tidak berupaya, Perdana Menteri sendiri kata cukuplah 60 tahun tak ada air. Beliau akan bersama dengan Menteri Besar (Kelantan) untuk selesaikan masalah itu di Kelantan,” katanya.
