KUALA LUMPUR 8 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima menghadap Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Negara hari ini.
Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, bersama isterinya, Iriana, tiba pada 3.35 petang bagi menghadiri majlis santapan petang bersama Seri Paduka dan meluangkan masa kira-kira sejam di Istana Negara.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama pada majlis menghadap itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi.
Jokowi berlepas pulang ke Indonesia petang ini selepas lawatan kerja dua hari atas jemputan Anwar susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke republik itu pada Januari lepas.
Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah pada Ogos 2019 selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April 2019.
Manakala kali terakhir Seri Paduka berangkat ke Indonesia bagi Lawatan Negara ialah pada 26 hingga 29 Ogos 2019, lawatan sulung Al-Sultan Abdullah ke republik itu sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai tahun sama.
