Pendirian Pemuda minta DAP mohon maaf kekal.

KUALA LUMPUR 8 Jun –  Pergerakan Pemuda UMNO tetap tegas dengan pendirian awal menggesa DAP memohon maaf kepada parti itu susulan segala tohmahan yang dilemparkan sebelum ini.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuat semasa ucapan dasar Pemuda pagi ini.

Tegasnya, walaupun dianggap ‘langau’ dan biadap, apa yang disuarakan adalah suara yang hadir daripada keresahan akar umbi.

“Kenyataan yang kita buat pagi tadi, sama sekali kita tak akan tarik. Itu muktamad dari Pemuda. Biarlah orang kata kita langau, kita biadap, yang penting kita tahu kita bawa suara rakyat di bawah,” katanya.

Ketika menyampaikan ucapan dasarnya pagi tadi, Muhamad Akmal menuntut permohonan maaf daripada DAP selain meminta parti itu menarik balik segala tohmahan terhadap UMNO yang sudah mengguris hati ahli sehingga kini.

DAP yang juga parti gabungan Pakatan Harapan (PH) kini sebahagian rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama UMNO.

Bagaimanapun Presiden UMNO  Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya berkata, permohonan maaf daripada DAP kepada UMNO seperti yang dibangkitkan tidak perlu lagi ditimbulkan.

“Kita tak gentar apa yang berlaku di depan selagi kita bawa suara akar umbi UMNO ini.

Saya nak bagi tahu, kami sayang parti, UMNO. Kalau tak sayang, kami tak cakap perkara betul. Kalau tak sayang, kami tak duduk dalam dewan ini. Kalau tak sayang, kami tak pakai sampin Pemuda UMNO,” katanya berucap pada sesi penggulungan pada perhimpunan agung sayap itu.

Beliau berkata, UMNO adalah institusi yang melahirkan pemimpin muda yang berani untuk bersuara dan mempertahan setiap inci perjuangan parti, agar tidak disentuh atau digugat mana-mana pihak.

Jadi, apabila pemuda bersuara, inilah suara akar umbi dari bawah. Pemuda di hadapan saya, jangan pernah rasa apologetik. (Apabila) keluar dari dewan kita patut berbangga sebab kita bawa suara akar umbi.

“Kebenaran itu kadang-kadang pahit, tetapi saya mahu beritahu yang pahit itu akan jadi ubat untuk mengubati. Ada orang kata ketum itu ubat, tetapi kalau ketum campur macam-macam dia dah tak jadi ubat,” katanya.

Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa rakyat khususnya anak muda mahu melihat UMNO benar-benar berubah.

“Rakyat di luar sana benar-benar berharap untuk melihat sinar perubahan dalam UMNO dan hari ini saya boleh beri jaminan sinar perubahan itu sudah datang dari pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment