KUALA LUMPUR 2 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bakal mencatat sejarah apabila pemimpin politik yang pernah menjadi musuh parti Melayu itu diundang menghadiri PAU yang dijadual berlangsung mulai 7 hingga 10 Jun ini.
Mereka yang diundang itu termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kesemua 19 presiden parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan ia sebagai sejarah buat parti berkata Anwar dijadual akan menghadiri perhimpunan berkenaan tetapi tidak akan memberikan ucapan.
“Tahun ini, sedikit kelainan dan bertuah kerana PAU akan turut dihadiri Perdana Menteri bersama 19 presiden parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berucap…beliau menjadi tetamu kehormat kami. Agenda hanya ucapan dasar presiden,” katanya pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung UMNO di Ibu Pejabat UMNO, di sini hari ini.
Mengenai agenda yang akan dibincangkan perwakilan pada perhimpunan itu, Asyraf Wajdi berkata ia termasuk soal ekonomi rakyat, kestabilan politik dan kerajaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, agama Islam, Melayu dan bumiputera.
Beliau memberitahu, satu perhimpunan khas turut akan diadakan bagi meminda beberapa fasal dalam Perlembagaan UMNO bagi memudahkan pendaftaran ahli baharu terutamanya secara dalam talian.
“Ini dihasratkan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempermudahkan soal keahlian parti terutamanya keahlian dalam talian. Kami menerima maklum balas bahawa ramai mahu sertai UMNO tetapi terdapat kekangan perlembagaan contohnya setiap pendaftaran perlu mendapat kelulusan ketua cawangan, jadi kami nak permudahkan supaya UMNO lagi dekat dekat dengan generasi anak muda,” katanya.
Menurut Dr Asyraf, seramai 6,341 perwakilan akan menghadiri perhimpunan itu, jumlah teramai susulan keputusan perhimpunan agung khas awal tahun ini yang meluluskan pindaan perlembagaan membabitkan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap sebagai perwakilan automatik pada PAU.
Ia membabitkan 2,888 perwakilan yang akan menghadiri PAU pada Jumaat dan Sabtu, selain 1,159 perwakilan Wanita, 1,160 perwakilan Pemuda dan 1,134 perwakilan Puteri pada Perhimpunan Agung ketiga-ketiga sayap yang akan diadakan serentak pada Khamis.
“Perhimpunan akan dimulakan secara rasmi pada malam Rabu semasa perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO secara serentak oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Terdahulu, pada sebelah pagi, akan diadakan program penerangan khas dengan semua jentera penerangan UMNO dari seluruh Malaysia, yang akan menampilkan Naib Presiden UMNO, iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Pada sebelah petang, akan diadakan taklimat Presiden UMNO secara tertutup pada jam 2.30 petang,” katanya.
Asyraf Wajdi memaklumkan, pembukaan PAU 2023 pada Khamis ini akan dimulakan dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa dan perbarisan pada jam 8 pagi, diikuti upacara perasmian pada jam 9 pagi.
Mengenai ramalan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin baru-baru ini bahawa UMNO berkemungkinan kehilangan separuh sokongan pengundi Melayu dalam enam PRN, Asyraf Wajdi berkata ia hanyalah ramalan semata-mata.
Beliau menegaskan UMNO tidak pernah terpesong daripada agenda dan perjuangannya untuk membela kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera serta Raja-Raja Melayu.
