Muhyiddin sedia kerjasama dengan Dr M

KUALA LUMPUR 2 Jun –  Muhyiddin Yassin menyambut baik kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama dengannya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.

“Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Tun Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Beliau berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Katanya, orang Melayu yang berpecah mengikut perjuangan parti politik berbeza mengakibatkan kaum majoriti ini semakin lemah dan sukar untuk memperbetulkan keadaan.

“Kita nak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow di Putrajaya kelmarin.

Kenyataan terbaharu beliau itu sekali gus membayangkan kedua-dua bekas Perdana Menteri berkenaan berkemungkinan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.

Related posts

Leave a Comment