Umrah: 600 individu bawa kes ke mahkamah

PUTRAJAYA 23 Mei – Sekumpulan lebih 600 individu yang mendakwa menjadi mangsa kegagalan sebuah syarikat pengendali pelancongan membawa mereka ke Tanah Suci, akan memfailkan tuntutan di mahkamah bulan depan.

Kumpulan berkenaan sudah menubuhkan jawatankuasa bertindak menguruskan tuntutan mereka termasuk melantik peguam untuk urusan mahkamah supaya bayaran umrah yang sudah dibayar penuh, dikembalikan.

Ketua jawatankuasa itu, Rusman Abu Samah, berkata pihaknya kini dalam proses mengumpul resit dan bukti pembayaran melalui bank daripada mangsa terbabit bagi memudahkan proses tuntutan.

Katanya, berdasarkan data diperoleh hingga semalam, 157 ketua keluarga sudah menyerahkan bukti pembayaran termasuk sudah melunaskan bayaran penuh bagi mengerjakan umrah.

Secara keseluruhan, lebih RM6 juta telah dibayar kepada syarikat itu tetapi gagal membawa jemaah ke Tanah Suci termasuk pada Ramadan lalu,” katanya di hadapan  pejabat syarikat berkenaan, hari ini.

Kegagalan syarikat itu membawa jemaah ke Tanah Suci membabitkan perjalanan umrah pada Disember 2020 hingga 19 Mei lalu.

“Kami tidak tolak kemungkinan jumlah sebenar mangsa serta kerugian mungkin lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, menurut Rusman, ada dalam kalangan jemaah yang sudah menghantar notis pembatalan umrah dijadualkan pada Ogos ini hingga Januari 2024 serta menuntut segala pembayaran sudah dibuat dengan jumlah tuntutan melebihi RM331,000.

Katanya mengikut rekod , bagi tuntutan bermula Februari 2020 (tertunda kerana Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Disember 2022 adalah kira-kira RM280,000 membabitkan 40 jemaah.

Bagi tuntutan bermula 21 Februari 2023 hingga 15 Mac lalu (sebelum Ramadan) ialah melebihi RM1.6 juta membabitkan kira-kira 198 jemaah.

Jumlah tuntutan tinggi direkodkan adalah perjalanan umrah ketika Ramadan tahun ini apabila syarikat itu membatalkan atau penjadualan semula bagi Pakej Umrah Ramadan.

Ia dibuat melalui memo bertarikh 29 Mac dan 4 April lalu dengan tuntutan hampir RM3.5 juta membabitkan 264 jemaah.

Terdapat kira-kira 12 individu sudah mendapat cek bertarikh hadapan tetapi ia dipulangkan semula oleh pihak bank kerana syarikat itu mengarahkan untuk memberhentikan cek berkenaan.

Menurutnya, tidak dinafikan ada beberapa individu ditawarkan untuk diterbangkan dan sudah berangkat menunaikan umrah, namun jumlah itu jauh lebih kecil daripada jumlah yang terkesan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz), Datuk Dr Zulkarnain Endut, berkata syarikat sedang mengemas kini jadual umrah dan membuat pembayaran balik kepada bakal jemaah yang terjejas penerbangan.

Proses itu katanya, akan dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat sekiranya pihak jemaah yang terbabit turut bekerjasama dengan pengurusan syarikat.

“Emraz komited memastikan mereka yang terbabit akan mendapat semula wang mereka. Kita menafikan dakwaan kononnya Emraz akan menutup operasinya seperti dakwaan yang tular di media sosial.

“Baru-baru ini, pihak syarikat menghantar semula jemaah ke Tanah Suci sebagai langkah memulihkan semula perkhidmatan dan mengembalikan kepercayaan pelanggan selepas berdepan isu, beberapa bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Emraz sudah membuat dua penerbangan sebelum ini iaitu pada 17 dan 19 Mei lalu bagi melihat sendiri kos pengurusan jemaah dapat dilakukan dengan jumlah operasi yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata pihaknya sudah menerima 105 laporan berhubung isu penipuan pakej umrah ditawarkan oleh Emraz Travel & Tours Sdn Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata hingga kini, sebanyak enam kertas siasatan sudah dibuka.

“Hasil siasatan mendapati syarikat itu mempunyai lesen perniagaan yang sah. Keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM3.9 juta. Kes itu disiasat disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment