Dewan Pemuda anggap prosedur biasa

KOTA BHARU 23 Mei – Ketika Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Exco kerajaan enggan mengulas berhubung sagu hati Aidilfitri, Dewan Pemuda Pas Kelantan tampil ‘mempertahankan’ isu itu dengan menyifatkan ia adalah prosedur biasa.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed, berkata ia sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan dasar kepada pihak pengurusan.

“Apatah lagi sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota profesional dalam aspek pengurusan dan teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti.

“Kita mengambil maklum sebaran yang dibuat membabitkan pentadbiran AKSB berkaitan pemberian saguhati kepada ahli lembaga pengarah, setiausaha syarikat dan kakitangan.

Walaupun dokumen bertahap sulit dan hanya boleh dicapai oleh segolongan orang tertentu sahaja, tetapi ia kini disebar secara tidak wajar untuk tujuan memberikan persepsi negatif terhadap AKSB,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Penerimaan sagu hati itu dipercayai membabitkan sembilan ahli lembaga pengarah yang menerima RM10,000 seorang selain setiausaha syarikat menerima RM2,000 serta kakitangan syarikat itu RM200.

Beliau berkata, pembahagian sagu hati itu turut dibandingkan dengan jumlah yang diterima oleh kakitangan.

Soal perbandingan dengan jumlah kepada kakitangan, pada saya ia tidak berbangkit kerana sebelum perkara ini tular, langkah penambahbaikan sudah dibuat oleh pengurusan AKSB untuk kebajikan kakitangan bagi menghadapi hari raya seperti penjawat awam lain.

“Jika orang Pas sejahat mereka yang menyebarkan dokumen sulit dan berniat memburukkan kerajaan, boleh sahaja didedahkan bayaran-bayaran ‘one off’ bersifat setahun sekali kepada ahli lembaga pengarah GLC Persekutuan yang bukan sedikit juga jumlahnya termasuk syarikat air negeri-negeri.

“Saya masih optimis dengan tatakelola yang baik bukan sahaja menjauhi rasuah tetapi juga membabitkan soal integriti termasuk tindakan buruk mereka yang berniat jahat mendedahkan sesuatu yang secara pentadbirannya biasa diamalkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan AKSB menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan membawa mereka yang mencanangkan prosedur dalaman kepada pihak pengadilan.

“Sulit itu adalah dokumen yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Terdahulu, tular satu notis mengenai pemberian saguhati Aidilfitri kepada sembilan ahli lembaga pengarah AKSB masing-masing sebanyak RM10,000 seorang.

Selain itu turut dinyatakan dalam notis itu mengenai pemberian sagu hati kepada semua kakitangan sebanyak RM200 dan kepada setiausaha syarikat sebanyak RM2,000.

Perkara itu didedahkan oleh seorang individu di Facebook sehingga menimbulkan kemarahan rakyat berikutan Kelantan berdepan masalah air yang berpanjangan.

Related posts

Leave a Comment