DUN Pulau Pinang bubar Jun

TANJONG 19 Mei – Kerajaan Pulau Pinang berpegang dengan perancangan asal untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu ketiga atau keempat Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ia sejajar dengan ketetapan antara enam negeri yang bersetuju membubarkan DUN dalam tempoh sama bagi mengadakan PRN secara serentak.

Beliau berkata,  keenam-enam negeri ada persetujuan membubarkan DUN dalam lingkungan dua minggu terakhir Jun dan setiap negeri ada pertimbangan masing-masing menjelang tempoh mandat DUN berkenaan berakhir pertengahan tahun ini.

“Ini kerana ada acara kerajaan dan sebagainya, namun di Pulau Pinang kita tetap berpegang pada pelan asal iaitu membubarkan DUN sama ada minggu ketiga atau keempat,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, berkata beliau akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagi mendapatkan perkenan baginda membubarkan DUN bagi memberi laluan pilihan raya negeri.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, pula berkata beliau bersedia menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi memohon pembubaran DUN Selangor bulan depan, manakala DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan pada akhir Jun ini.

Berikutan itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos, iaitu 60 hari daripada hari pembubaran.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), manakala Terengganu, Kedah dan Kelantan, di bawah teraju Perikatan Nasional (PN).

PRN itu perlu diadakan berikutan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

Related posts

Leave a Comment