Wujudkan koridor kemanusiaan bantuan makanan

ROM: Koridor kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan makanan ke Gaza perlu diwujudkan susulan serangan udara Israel melanda kawasan Palestin berikutan serangan maut Hamas.

Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) berkata, semua pihak perlu menegakkan prinsip undang-undang kemanusiaan termasuk memastikan akses kepada makanan.

“Apabila konflik semakin meningkat, orang awam, termasuk kanak-kanak dan keluarga yang terdedah, menghadapi cabaran semakin meningkat dalam akses bekalan makanan penting,” kata WFP.

WFP berkata ia bersedia menyediakan stok makanan awal untuk orang yang dipindahkan atau berada di tempat perlindungan.

“Walaupun kebanyakan premis perniagaan di kawasan terjejas di Palestin pada masa ini mengekalkan stok makanan untuk sebulan, akan wujud risiko apabila orang ramai membeli makanan kerana bimbang konflik berpanjangan,” katanya.

Menurut laporan, agensi PBB itu menyediakan bantuan makanan terus kepada kira-kira 350,000 rakyat Palestin setiap bulan, sementara turut menawarkan bantuan kepada hampir satu juta rakyat Palestin dengan kerjasama rakan kemanusiaan lain melalui pemindahan wang tunai.

Pesawat Israel menyerang Gaza semalam selepas Israel mengalami serangan paling berdarah dalam beberapa dekad, apabila pejuang Hamas menyerang melalui bandar-bandar Israel membunuh 600 dan menculik puluhan lagi.

Sementara itu memetik laporan media, hampir 1,000 orang terbunuh sejak pejuang Hamas menyerbu merentasi sempadan Gaza dengan Israel kelmarin, mencetuskan pertempuran senjata dengan Israel, yang juga melancarkan serangan udara ke atas kawasan pantai yang dikepung.

Related posts

Leave a Comment