Pelan tindakan atasi masalah penipuan umrah

KUALA LUMPUR 19 Mei – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang membangunkan ‘blueprint’ berkaitan industri umrah serta menilai semula penggredan pengendali agensi, sekali gus mampu menyelesaikan masalah penipuan umrah di negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata industri pelancongan di negara ini banyak ketinggalan dalam pelbagai aspek terutamanya berkaitan akta untuk mempertahankan pengendali atau jemaah.

“Kita akan lakukan langkah penambahbaikan dalam industri pelancongan, pertamanya kita akan lihat kembali akta dan kedua, pihak kita sedang membangunkan blueprint berkaitan umrah.

“Kedua-dua perkara ini sangat berkait rapat, contohnya berkaitan akta, banyak yang sebelum ini tidak lagi sesuai dengan industri dan teknologi sekarang.

Oleh sebab itu, menteri setuju untuk kita bangunkan blueprint selari dengan akta yang mahu kita ubah. Kali ini kita akan lakukan libat urus dengan pihak industri kerana kita tidak mahu wujudkan akta yang syok sendiri tanpa mengikut keperluan pemain industri,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Malaysia Airlines bersama Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd. bagi musim umrah 2023-2024

Mengenai akta industri pelancongan atau Akta 482, Khairul Firdaus berkata ia diwujudkan sejak 1992 dan kini ‘usianya’ sudah mencecah 31 tahun.

Katanya, kebanyakan aktanya juga sudah lapuk serta tidak relevan lagi untuk digunakan kepada industri pelancongan.

“Kita akan pastikan akta ini diperbaharui supaya lebih mesra perniagaan selaras perkembangan teknologi semasa dan semestinya ianya inkusif dalam industri pelancongan.

“Secara umumnya, Akta 482 yang baharu nanti ia membolehkan tindakan segera diambil keatas pengendali umrah yang lakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja untuk menjaga pengendali umrah tetapi juga kemaslahatan jemaah.

Katanya, sebelum ini kita banyak cabaran berkait akta ini sehingga tindakan sukar untuk diambil terhadap mana-mana agensi umrah yang lakukan kesalahan ini,” katanya.

Khairul Firdaus berkata, pihaknya juga akan melaksanakan penggredan pengendali agensi umrah ini untuk memberi pilihan kepada jemaah memilih mengikut gred yang mereka mahukan.

“Jadi ia akan lebih telus dan jemaah ini lebih terbuka untuk melihat mana-mana pengendali yang mempunyai prestasi tinggi dan tidak melakukan kesalahan dalam perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berkata apa yang merisaukan Kementerian adalah banyak agensi ini tidak mampu mengekalkan gred perkhidmatan mereka yang sudah diberikan sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment