Pahang tangguh bentang RUU antilompat parti

LIPIS 2 Mei – Apakah sudah ada kelemahan atau masih perlu diperbaiki? Itu persoalan yang timbul apabila pembangkang di Pahang meminta lebih masa untuk mengkaji Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti sebelum dibentangkan.

Menurut Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, RUU antilompat parti tidak akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 8 Mei ini kerana pembangkang meminta dilanjutkan penelitian dan kerajaan negeri bersetuju.

Katanya, beliau sudah mengarahkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk berbincang dengan pembangkang dan pembangkang meminta penangguhan sementara sebelum ia dibentangkan.

“Pembangkang memaklumkan mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti rang undang-undang itu. Mereka mungkin akan memberi cadangan dan di pihak kami jika cadangan itu munasabah maka kami mungkin mempertimbangkan untuk membuat perubahan yang perlu.

Ia akan dibentangkan sebaik sahaja pihak pembangkang memberikan cadangan mereka dan kerajaan negeri akan meneliti cadangan itu,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Hari Raya UMNO Pahang di Laman Sejahtera, Sungai Koyan di Lipis semalam.

Pada 12 April, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin, berkata RUU antilompat parti dijangka dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Pahang pada 8 Mei dan ADUN dijangka memberikan sokongan mereka dengan majoriti dua pertiga.

Beliau berkata, ia berdasarkan persetujuan semua ADUN Pahang selepas taklimat Perlembagaan (Pindaan) No.3 Akta 2022 (Akta A1663) (Anti-Lompat Parti) daripada Pejabat Penasihat Undang-undang.

Pada 27 Mac lalu, Wan Rosdy dilaporkan berkata kerajaan negeri masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu, tetapi bersedia mengadakan perbincangan dengan pembangkang sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 29 Mac, ketua pembangkang DUN Pahang,  Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pahang mengenai RUU anti lompat parti sebelum dibentangkan.

Pahang adalah antara negeri yang masih belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022.

Sehingga kini, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak sudah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN.

Related posts

Leave a Comment