Lonjakan kes di Arab Saudi

RIYADH 27 Dis. – Kes harian jangkitan Covid-19 di Arab Saudi terus melonjak apabila merekodkan 524 kes baharu hari ini berbanding 389 kes yang direkodkan semalam.

Sebelum ini, pada 24 Disember, sebanyak 332 kes direkodkan, berbanding hari sebelumnya sebanyak 287 kes.

Jumlah kes harian mula menunjukkan peningkatan berbanding beberapa minggu sebelumnya yang merekodkan angka di bawah 100 dan 50 kes.

Pada 10 Disember, angka yang direkodkan adalah 48 dan naik kepada 53 pada hari berikutnya, naik kepada 64 pada 13 Disember, 88 kes 15 Disember, dan 116 kes pada 18 Disember seterusnya pada 21 Disember merekodkan 222 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH)  satu kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 8,872 orang meninggal dunia manakala kumulatif kes 553,319.

Sebanyak 124 orang dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 541,010 manakala kes aktif pula, 40 daripada pesakit memohon bantuan.

Sementara itu, dalam sidang media semalam,  jurucakap Kementerian Kesihatan Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly, berkata banyak negara menyaksikan lonjakan kes Covid-19, termasuk Arab Saudi.

Justeru, beliau berkata pentingnya menerima vaksin dan suntikan penggalak, sambil menekankan kepentingan kanak-kanak yang layak mendapatkan vaksin untuk tampil berbuat demikian.

Pihak berkuasa kesihatan mula memberikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur antara lima dengan 11 tahun pada Selasa lalu.

Keutamaan diberikan kepada mereka yang dianggap terdedah dan berisiko tinggi dijangkiti virus.

Pada sidang media yang sama, jurucakap Kementerian Perdagangan Arab Saudi, Abdulrahman Al-Hussain mengumumkan langkah diperlukan bagi pemilik perniagaan membantu mengekang dan mengawal penularan Covid-19.

Perniagaan dikehendaki melaksanakan kod bar untuk pelanggan mengimbas pada aplikasi Tawakkalna sebelum memasuki sesebuah tempat.

Beliau juga menekankan kepentingan bagi semua perniagaan kecil menyemak status vaksinasi pelanggan melalui aplikasi tersebut.

Menurutnya, mulai Februari, orang ramai tidak akan dibenarkan memasuki tempat perniagaan komersil tanpa menunjukkan bukti suntikan penggalak vaksin Covid-19.

Aplikasi Tawakkalna dilancarkan tahun lalu bagi membantu mengesan jangkitan Covid-19. Sejak itu ia telah dikemas kini untuk memasukkan maklumat vaksinasi, selain turut berfungsi sebagai pasport Covid-19 untuk digunakan di dalam dan di luar negara itu.

Al-Abd Al-Aly menggesa orang ramai supaya mengikuti langkah pencegahan seperti memakai pelitup, mencuci tangan dan menjalani kuarantin sendiri bagi mereka yang menunjukkan gejala.

Related posts

Leave a Comment