Reezal Merican dilantik Pengerusi Matrade

KUALA LUMPUR 2 Mei – Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai pengerusi kesembilan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan dan telah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022), Menteri Belia dan Sukan (2020-2021) dan Timbalan Menteri Luar (2015-2018).

Selain itu, beliau ialah Pengerusi Amanah Raya Bhd dari 2013 hingga 2015.

“Saya berbesar hati diberikan peluang untuk berkhidmat sebagai pengerusi Matrade. Menerusi peranan ini, ditambah pula dengan kepimpinan menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), kita berupaya mendorong prestasi perdagangan dan eksport Malaysia yang lebih baik untuk kekal cemerlang dan mencapai pertumbuhan lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Matrade, berikutan pengalaman luas Reezal Merican dalam hal ehwal antarabangsa, diplomasi, pentadbiran kerajaan dan hubungan industri, beliau dalam kedudukan baik untuk membawa dan memimpin agenda promosi perdagangan nasional Malaysia dan memudahkan pelaburan berorientasikan eksport ke negara ini.

Matrade berkata pelantikan beliau sebagai pengerusi akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian eksport Malaysia di pasaran global baharu dan sedia ada, kata agensi berkenaan.

Ditubuhkan pada 1993 Matrade adalah agensi di bawah Miti dan diberikan mandat untuk melaksanakan inisiatif promosi perdagangan untuk negara dengan menjalankan dua aktiviti teras iaitu pembangunan pengeksport dan promosi eksport.

Pada masa ini, Matrade mempunyai enam pejabat serantau di Malaysia dan 46 pejabat global.

Related posts

Leave a Comment