23 peratus pekerjaan dijangka berubah

HAMPIR satu perempat atau 23 peratus daripada pekerjaan dijangka berubah dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pertumbuhan 10.2 peratus dan penurunan 12.3 peratus pekerjaan.

Demikian menurut laporan ‘The Future of Jobs Report 2023’, yang menghimpunkan perspektif 803 syarikat yang secara keseluruhannya menggaji lebih 11.3 juta pekerja dalam 27 kelompok industri dan 45 ekonomi dari semua rantau di dunia.

Laporan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) itu menunjukkan majikan menjangka 69 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan dan 83 juta disingkirkan dalam kalangan 673 juta pekerjaan yang sepadan dengan set data, penurunan bersih sebanyak 14 juta pekerjaan, atau dua daripada pekerjaan semasa.

Menurut laporan itu, penggunaan teknologi dan peningkatan pendigitalan akan menyebabkan pergolakan pasaran buruh yang ketara, dengan keseluruhan positif bersih dalam penciptaan pekerjaan.

Pengarah WEF, Saadia Zahidi dalam kenyataan berkata, perlu ada pelan tindakan jelas untuk memastikan daya tahan.

Katanya, kerajaan dan perniagaan mesti melabur untuk menyokong peralihan kepada pekerjaan masa depan melalui struktur pendidikan, kemahiran semula dan struktur sokongan sosial yang boleh memastikan individu benar-benar terlibat.

Syarikat melaporkan jurang kemahiran dan ketidakupayaan untuk menarik tenaga kerja ialah halangan utama kepada transformasi, menunjukkan keperluan yang jelas untuk latihan dan kemahiran semula merentas industri.

Enam daripada 10 pekerja akan memerlukan latihan sebelum 2027 tetapi hanya separuh daripada pekerja dilihat mempunyai akses kepada peluang latihan yang mencukupi pada hari ini.

Pada masa yang sama, laporan itu menganggarkan, secara purata, 44 peratus daripada kemahiran pekerja individu perlu dikemas kini.

Bagi menangani krisis kos sara hidup, 36 peratus syarikat menyedari menawarkan gaji yang lebih tinggi boleh membantu menarik tenaga kerja, empat daripada lima syarikat merancang melabur dalam pembelajaran dan latihan di tempat kerja serta mengautomasikan proses dalam tempoh lima tahun akan datang.

Related posts

Leave a Comment