KUALA LUMPUR 28 April – Parti Bersatu memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa kerusi Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang sudah dikosongkan.
Permohonan kebenaran itu difailkan Naib Presidennya, Dr Ronald Kiandee dan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam parti berkenaan.
Ia menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen kawasan terbabit Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.
Dalam permohonan itu, Bersatu memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu yang menyatakan responden kedua hingga kelima sudah memberikan penjelasan dan mengesahkan bahawa tidak berlakunya kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu.
Bersatu juga memohon perisytiharan bahawa empat ahli Parlimen terbabit sudah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan memohon perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan.
Parti itu turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit
Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, Bersatu memohon perintah penzahiran supaya responden mengemukakan kesemua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat dan penjelasan mengenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka.
