Covid -19: Lebih 616 juta pelajar terjejas

NEW YORK: Penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan kerugian hampir tidak dapat diatasi dalam pendidikan dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menyatakan, dianggarkan lebih 616 juta pelajar masih terjejas akibat penutupan sekolah sepenuhnya atau sebahagiannya.

Menurut agensi kanak-kanak PBB itu, di banyak negara, di samping merampas peluang jutaan kanak-kanak untuk memperoleh kemahiran asas, gangguan itu juga telah menjejas kesihatan mental pelajar.

Ketua Pendidikan Unicef, Robert Jenkins, dalam satu kenyataan berkata, ini meletakkan mereka pada risiko lebih besar bagi kes deraan dan menghalang ramai daripada mendapat akses kepada sumber pemakanan asas dan tetap.

“Secara ringkasnya, kita sedang melihat kepada skala kerugian yang hampir tidak dapat diatasi terhadap persekolahan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, dua tahun selepas wabak Covid-19 menular ke seluruh dunia.

Katanya, membuka semula sekolah sahaja tidak mencukupi sebaliknya memerlukan  sokongan intensif untuk memulihkan pendidikan yang hilang.

Menurut Unicef, kerugian pembelajaran akibat penutupan sekolah menyebabkan sehingga 70 peratus kanak-kanak berumur 10 tahun tidak dapat membaca atau memahami teks mudah, meningkat daripada 53 peratus sebelum pandemik di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Di Habsyah, sebagai contoh, kanak-kanak hanya belajar antara 30 hingga 40 peratus daripada matematik yang mereka akan pelajari jika ia adalah tahun sekolah biasa di sekolah rendah.

Di Amerika Syarikat, kerugian pembelajaran dilihat di beberapa negeri termasuk Texas, California dan Maryland.

Begitu juga keciciran sekolah di Afrika Selatan dengan antara 400,000 dengan 500,000 pelajar dilaporkan berhenti sekolah sama sekali antara Mac 2020 dan Julai 2021.

Penutupan sekolah juga bermakna lebih 370 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mendapat makanan sekolah – kehilangan apa yang ada pada sesetengah kanak-kanak satu-satunya sumber harian makanan yang boleh dipercayai.

Related posts

Leave a Comment