KUALA LUMPUR 24 April – Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong membidas laporan sebuah portal berbahasa Inggeris yang menyatakan ahli Parlimen MCA antara 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terbabit dalam komplot mengguling kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, dakwaan itu berdasarkan sumber maklumat yang tidak berasas dan tanpa disertakan bukti kukuh.
“Selaku Presiden MCA saya memandang berat perkara ini, media sepatutnya mendapatkan maklumat yang sudah disemak.
“Kita sendiri tidak tahu mengenai usaha dan percubaan ini (menggulingkan kerajaan) dan macam mana nama kami, saya dan Datuk Seri Wee Jack Seng ditulis dalam laporan itu.
“Saya menganggap laporan itu satu perbuatan yang keji dan patut dikecam. Laporan ini mengarut dan tidak berasas dan kami tidak terbabit dan tidak tahu-menahu mengenainya,” katanya dalam satu video yang disiarkan di media sosial rasmi beliau.
Satu laporan media mendakwa kononnya 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Muhyiddin Yassin dilantik Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), terbabit dalam komplot mengguling kerajaan dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membolehkan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Laporan itu menyenaraikan Ka Siong dan Jack Seng selain beberapa Ahli Parlimen dari UMNO dan MIC.
Ka Siong berkata, mana-mana media boleh menulis berdasarkan khabar angin, namun ia perlu mempunyai asas yang kukuh dan bukti.
“Sebuah portal berita menyiarkan laporan yang bersandarkan kepada ‘sumber maklumat tanpa nama’ dilihat cuba mengarang berita kononnya ada gerakan untuk menggugat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sesiapa saja boleh menulis mengikut citarasa masing-masing berpandukan khabar angin.
“Namun bagi saya sendiri sebagai Presiden MCA dan parti saya, kami tidak tahu tentang percubaan menggulingkan kerajaan seperti mana yang dilaporkan,” katanya.
Beliau menegaskan tidak sama sekali akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana Ahli Parlimen yang dipilih untuk mengosongkan kerusi mereka untuk memaksa PRK diadakan.
“Di mana logiknya, kami tidak akan sokong dan keutamaan sekarang ialah menyokong dasar dan strategi ke arah pemulihan ekonomi negara melalui kestabilan politik mengikut kehendak rakyat pada PRU15,” katanya.
