Projek AHTV dipercepat

BEIJING 1 April-  Projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) yang membabitkan kerjasama DRB-HICOM Berhad dan syarikat China, Geely perlu dipercepat kerana ia membabitkan pelaburan besar dan menyediakan puluhan ribu peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuannya dengan rakan sejawatan, di Dewan Besar Rakyat di sini, petang tadi, Perdana Menteri Li Qiang turut memberi penekanan kepada projek ini.

“Projek itu besar yang dianggap menjadi satu kawasan automotif yang terbesar di Pekan dan Tanjung Malim (di Perak).

“Kita akan minta kerajaan negeri berkaitan dan majlis perbandaran untuk mempercepat proses ini, memandangkan ini pelaburan yang besar dan memberi peluang pekerjaan kepada puluhan ribu anak muda Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja rasmi empat hari ke China malam ini.

DRB-HICOM Berhad dan Geely hari ini menandatangani Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat bagi fasa seterusnya.

HOA ini bertujuan membolehkan projek AHTV membabitkan pembukaan di kawasan berkeluasan kira-kira 400 hektar dibangunkan sebagai hab kenderaan generasi akan datang di Tanjong Malim.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada syarikat kereta nasional PROTON.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengembangkan kerjasama terhadap dua lagi projek di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Sementara itu Malaysia dan China secara prinsipnya bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang utama, yang mampu memberi lonjakan besar terhadap pengukuhan ekonomi negara pasca Covid-19 serta pembangunan insan.

Ia merangkumi bidang pendidikan, komodoti dan industri berasaskan pertanian, sains dan teknologi serta ketersambungan termasuk pelancongan dan peningkatan kadar kekerapan penerbangan di antara Malaysia dan China.

Mengenai pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping semalam, pemimpin itu menzahirkan sokongannya terhadap ASEAN Centrality dalam menangani isu keselamatan antarabangsa serta menyokong blok ASEAN yang bebas, termasuk mengenai isu perseteruan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Katanya, turut dibincang dengan pemimpin utama China itu, adalah isu-isu Laut China Selatan, situasi Myanmar dan isu penghantaran balik pelarian Rohingya.

Related posts

Leave a Comment