SEPANG 20 Jun – Negeri Sembilan dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Jun ini manakala Pulau Pinang pula dijadualkan pada 28 Jun bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Sebelum ini Selangor menetapkan pembubaran pada 23 Jun, Kelantan 22 Jun manakala Kedah mencadangkan 28 Jun manakala Terengganu belum menetapkan tarikh pembubaran.
Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Aminuddin Harun akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 28 Jun ini, bagi mendapat perkenan baginda untuk membubarkan DUN pada 30 Jun ini.
“Saya akan menghadap Tuanku pada Rabu depan (28 Jun) bagi meminta izin untuk pembubaran DUN pada 30 Jun ini.
“Insya-Allah, semuanya berjalan lancar dan DUN akan dibubarkan pada 30 Jun,” katanya selepas Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama di Klana Resort, Rembau, petang ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018, Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) sebanyak 16 kerusi.
Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 27 Jun ini untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
“Ya, ya…saya akan menghadap Yang di-Pertua Negeri pada 27 Jun untuk memaklumkan mengenai cadangan pembubaran DUN dan memohon menandatangan proklamasi pembubaran sehari selepas itu.
Yang di-Pertua Negeri bertindak atas nasihat kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada pilihan raya umum 2018, Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 kerusi ketika Bersatu masih dalam gabungan itu manakala Barisan Nasional memang dua dan Pas satu kerusi.
Bagaimanapun, empat ADUN Bersatu iaitu wakil Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam digugurkan dari DUN selepas usul pengosongan kerusi mereka diluluskan mengikut undang-undang antilompat parti.
