KOTA KINABALU 1 April – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah yang baharu dilantik, Noraini Idris mengakui berdepan banyak cabaran bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Katanya, paling utama ialah menggalas amanah yang besar untuk membantu mengukuhkan UMNO Sabah dan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi.
“Bukan mudah melaksanakan amanah ini namun dengan adanya kerjasama dan sokongan ahli parti khususnya Wanita UMNO Sabah, Insya-Allah amanah yang diberi akan dilaksanakan sepenuhnya.
Apa lagi dengan hanya tinggal beberapa tahun PRN Sabah akan berlangsung, sudah tentu banyak cabaran bakal dilalui bagi memastikan UMNO kekal relevan dan diterima rakyat Sabah walaupun pelbagai persepsi negatif dimainkan pihak tertentu di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau antara muka baharu yang diumumkan sebagai Ketua UMNO negeri yang baharu pada mesyuarat pertama Exco Pergerakan Wanita UMNO yang dipengerusikan Ketuanya, Dr Noraini Ahmad semalam.
Ketua UMNO Penampang itu menggantikan bekas Ketua Wanita UMNO Sepanggar, Jainab Ahmad, yang mengetuai Wanita UMNO Sabah sejak 2018.
Noraini mengharapkan sokongan semua pihak terutama pimpinan Wanita UMNO pelbagai peringkat di negeri ini.
“Tanggungjawab ini bukan mudah tetapi jika ada semangat kerja berpasukan tinggi dalam kalangan pimpinan Wanita di semua peringkat, Wanita UMNO akan kekal sebagai barisan hadapan parti dalam mengembalikan kuasa,” katanya.
