Jawatankuasa tangani isu doktor kontrak

PUTRAJAYA 1 April – Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang kini membawa kepada ancaman mengadakan mogok pada 3 hingga 5 April ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata persetujuan itu dicapai semalam, dengan jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan hari ini, susulan desas-desus kemungkinan mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini.

Selain itu, terdapat juga catatan di Instagram menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Dr Zaliha menegaskan mogok yang dirancang kumpulan doktor kontrak itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan semua permasalahan sebaliknya ia perlu ditangani dengan pembabitan bersama secara lebih profesional dan berhemah.

Katanya, penjawat awam sama ada berjawatan tetap mahupun kontrak masing-masing tertakluk kepada integriti penjawat awam dan Etika Perkhidmatan Awam.

“KKM berpandangan mogok bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.

“Sebaliknya perkara ini perlu dilihat dengan teliti memandangkan perkhidmatan kesihatan adalah suatu perkhidmatan yang kritikal kerana ia membabitkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kumpulan dikenali Mogok Doktor Malaysia sebelum ini berkata lebih 8,000 doktor kontrak akan melakukan mogok antara 3 hingga 5 April dengan mengambil cuti perubatan/kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Kumpulan itu juga memberi amaran terdapat 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM pada 1 April.

Selain penyerapan semua doktor kontrak ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga, kumpulan itu mendesak kenaikan gaji pokok dan kadar ‘on-call’ untuk pakar perubatan dan pegawai perubatan.

Mereka juga mahu KKM menyelesaikan isu kekurangan pakar, pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah dengan segera.

Related posts

Leave a Comment