KUALA LUMPUR 29 Mac – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.
Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan, hari ini berkata, pelantikan itu berkuat kuasa 16 April ini.
Pertukaran Ayob Khan sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman bagi menggantikan penyandang jawatan itu ketika ini, iaitu Abd Jalil Hassan yang akan bersara wajib pada tarikh berkenaan
Ayob Khan yang sebelum ini pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada 6 Mac 2020.
Beliau kemudian kembali ke Bukit Aman selepas dilantik sebagai Pengarah JSJN bermula 25 Januari 2022 sehingga kini.
