KUALA LUMPUR 28 Mac – Jabatan Peguam Negara diarah mengkaji untuk menubuhkan satu badan bebas sebagai mekanisme bagi menyiasat dakwaan atau tuduhan terhadap semua agensi penguatkuasaan, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting kerana jika ada sebarang tuduhan, ada badan bebas untuk menyiasat semua agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen, Kastam atau polis.
“Tetapi sudah ada arahan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kemuka cadangan supaya badan penguatkuasaan ini tak siasat sendiri, tetapi ada badan lain bebas yang akan menyiasat dan perkara ini saya rasa tak terlalu sukar (untuk dilaksanakan),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta sama ada akan wujud satu badan bebas untuk menyiasat pegawai tertinggi seperti SPRM sekiranya ada sebarang pertuduhan atau aduan.
Anwar berkata, penubuhan badan bebas terbabit juga dilihat bagi mengelak timbul sebarang permasalahan seperti timbul ketidakpuasan hati berikutan pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebelum ini.
“Cuma saya nak tekankan di sini, apabila timbul isu IPCMC, yang dipertikaikan (adalah penubuhan) IPCMC, mengapa dituju khusus kepada mereka (polis) sedangkan permasalahan itu harus membabitkan semua agensi penguatkuasaan.
“Jadi pada pendapat saya, ini adalah cadangan yang lebih baik iaitu satu badan bebas yang boleh mengambil tindakan dan boleh menyiasat serta mengambil tindakan terhadap semua dakwaan membabitkan badan penguatkuasaan lain,” katanya.
Menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai kesediaan kerajaan melaksanakan syor daripada Transperancy International Malaysia (TI-M) supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar berkata undang-undang sedia ada menjamin kebebasan suruhanjaya terbabit.
“Mengikut peraturan dan perundangan sekarang, SPRM adalah badan bebas dan sebab itu apabila saya ambil alih, saya memilih tidak menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilantik Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Ini supaya tidak menimbulkan persepsi bahawa Perdana Menteri yang baharu, akan melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. Ini kerana peruntukan undang-undang sekarang menjamin kebebasan SPRM dan tidak tertakluk di bawah arahan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini pelbagai jawatankuasa dan panel perundingan sedia ada memantau SPRM dalam usaha memperkasakan lagi kedudukan suruhanjaya berkenaan.
“Untuk memperkukuhkan kedudukan dia (SPRM), ada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
“Sebab itu jika dibangkitkan dan memang sudah ada kajian setakat ini kerana beberapa mantan Perdana Menteri yang lalu juga sudah mengambil inisiatif merunding dan menimbang, maka saya tidak bermasalah untuk menimbang syor TI-M dan lain-lain,” katanya.
