PUTRAJAYA 28 Mac – Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau tidak pernah disambut ‘pegawai rendah’ sesebuah negara dalam kunjungan rasmi sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia.
Malah bekas Perdana Menteri itu berkata, tiada negara tidak pernah menyambutnya dalam lawatan rasmi.
Beliau bagaimanapun tidak pasti mengapa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim gagal mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dalam lawatan rasmi ke negara itu.
“Ya, Ini lawatan rasmi, saya semasa jadi Perdana Menteri membuat lawatan rasmi di banyak negara… tidak ada satu negara pun yang tidak sambut saya, (malah) disambut oleh ketua negara.
“Saya pun tidak tahu kenapa Raja Arab Saudi dan Putera Mohammed tidak mahu jumpa Anwar tapi mereka mungkin mempunyai satu pandangan yang kita tidak tahu yang menyebabkan mereka tidak ingin berjumpa Anwar bila dia pergi ke sana.. yang berjumpa Anwar pun pegawai rendah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lawatan rasmi Anwar ke Arab Saudi baru-baru ini yang hanya disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud, dengan upacara sambutan rasmi membabitkan kawad statik.
Dalam kenyataan akhbar sebelum lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Salman dan Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam.
Ditanya mengenai Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang disokong kerajaan Arab Saudi tetapi ditutup pada 2018, Dr Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memaklumkan tidak mengetahui perkara ini.
“Saya tidak tahu mengenai penutupan Pusat ini.. yang saya tahu baru ini dilapor bahawa pusat ini telah ditutup, siapa yang tutup saya tidak tahu,” katanya.
KSCIP ditutup pada 2018, lebih setahun selepas ia dilancarkan oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ketika lawatan baginda ke Malaysia pada Mac 2017.
