Team Azwan Bro kuasai Pasir Salak

PASIR SALAK 19 Mac –  Team Azwan Bro berjaya menguasai tiga jawatan utama pemilihan UMNO bahagian itu hari ini apabila Khairul Azwan Harun dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak yang baharu.

Beliau yang memperoleh 342 undi, menewaskan pencabarnya, anak bekas penyandang jawatan itu Dr Faizal Tajuddin dengan majoriti 46 undi.

Pada Oktober tahun lalu,  Tajuddin Abdul Rahman yang ketika itu sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak dan Ketua UMNO bahagian digantung selama enam tahun atau dua penggal.

Bagaimanapun seorang lagi anak Tajuddin iaitu  Rahayu Tajuddin berjaya memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian Pasir Salak pada pemilihan yang berlangsung minggu lepas.

Keputusan rasmi bagi pemilihan UMNO bahagian itu diumumkan oleh Pengerusi Sementara,  Abdullah Fauzi Ahmad Razali, pada jam 10.05 malam ini di Dewan FELCRA Seberang Perak, di sini.

Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Bahagian Pasir Salak dimenangi anak bekas Menteri Besar Perak, Ramli Ngah Talib, Ramelle Ashram Ramli, yang menewaskan Abd Halim Sameon@Luyu.

Mohd Nazari Sabran memenangi jawatan Naib Ketua Bahagian setelah mengalahkan pencabarnya, Badiozaman Mohd Noor dan Mohd Zamhuri Abidin.

Ramelle Ashram dan Mohd Nazari adalah sebahagian daripada pasukan ‘Memperkasa Pasir Salak’ yang diketuai Khairul Azwan bagi berdepan pasukan pimpinan Faizal.

Minggu lalu, pemilihan sayap UMNO Bahagian Pasir Salak menyaksikan kemenangan Mohd Yafiz Mustapa sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd Farid Mohd Hayati (Naib Ketua Pemuda), Azuwa Sulaiman (Ketua Puteri) dan Saila Mohd Saleh (Naib Ketua Puteri).

Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak pula dimenangi oleh Noraini Bahari.

Related posts

Leave a Comment