Tiada campur tangan siasat Jana Wibawa

PUTRAJAYA 10 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa siasatan terhadap beberapa individu berhubung kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), dilakukan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Dalam satu kenyataan, SPRM menjelaskan siasatan terbabit adalah berdasarkan bukti serta maklumat diperoleh agensi penguat kuasa itu sendiri.

Menurut kenyataan itu, kertas siasatan yang dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan itu adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Justeru, tohmahan menyatakan siasatan SPRM dilakukan atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik, adalah tidak benar sama sekali serta menjejaskan imej SPRM,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin yang dituduh di mahkamah, hari ini, mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara membuat keputusan untuk mendakwa dirinya lebih awal sedangkan beliau belum memberi sebarang kenyataan kepada SPRM.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau mengetahui tindakan untuk mendakwa dirinya sudahpun diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

“Saya sudah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kesalahan yang saya lakukan,” dakwanya.

Related posts

Leave a Comment