Pertuduhan bukan desakan pihak tertentu

KUALA LUMPUR 10 Mei – Keputusan mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu, adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil penyiasatan, bukan disebabkan desakan pihak tertentu atau faktor lain, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Katanya, keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tanpa memihak kepada sesiapa.

Beliau berkata, ia berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya, selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru AGC menafikan tohmahan wujudnya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu terbabit akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu,  Muhyiddin Yassin yang dituduh di mahkamah, hari ini, mempersoalkan bagaimana AGC membuat keputusan untuk mendakwa dirinya lebih awal sedangkan beliau belum memberi sebarang kenyataan kepada SPRM.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau mengetahui tindakan untuk mendakwa dirinya sudahpun diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa lagi, pendakwaan terpilih ke atas dirinya itu adalah tindakan politik berniat jahat yang bertujuan melumpuh dan menghancurkan BERSATU serta PN.

Related posts

Leave a Comment