PUTRAJAYA 3 Mac – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam menunjukkan peningkatan dengan 244 kes termasuk dua kes import berbanding 217 kes kelmarin.
Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,043,252 yang meliputi 5,004,565 kes tempatan dan 38,687 kes import.
Lima kematian juga direkodkan semalam termasuk dua kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini 36,965 orang termasuk 7,876 kes BID.
Sementara itu, jumlah kes aktif naik sedikit kepada 9,256 berbanding 9,230 kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,896 kes atau 96.1 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 353 pesakit atau 3.8 peratus mendapat rawatan di hospital, tujuh daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana dua orang masih memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 213 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,997,031 orang.
Bagi kes harian negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan 81 kes berbanding 58 kelmarin dan Selangor 76 kes berbanding 86 sebelumnya manakala Perlis tiada merekodkan sebarang kes baharu.
