JOHOR BAHRU 3 Mac – Jumlah mangsa banjir di semua 10 daerah di Johor yang dipindahkan melonjak kepada 33,149 penduduk.
Setakat pukul pukul 8 pagi ini, mereka yang dipindahkan melibat 9,354 keluarga, yang ditempatkan di 217 pusat pemindahan sementara (PPS).
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, berkata hujan lebat yang terus melanda hampir semua daerah sejak petang semalam menyebabkan jumlah mangsa banjir negeri ini terus meningkat.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan mangsanya meningkat kepada 12,186 orang daripada 3,519 keluarga di 77 PPS.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata daerah kedua paling terjejas adalah Kluang dengan mangsanya turun sedikit kepada 5,174 penduduk daripada 1,507 keluarga yang ditempatkan di 38 PPS.
Batu Pahat pula menunjukkan peningkatan dengan 4,340 mangsa daripada 1,174 keluarga di 24 PPS, Kota Tinggi juga naik kepada 3,689 mangsa daripada 971 keluarga di 19 PPS.
Di daerah Muar pula melonjak kepada 2,829 mangsa daripada 826 keluarga di 18 PPS diikuti Tangkak seramai 1,999 mangsa banjir daripada 541 keluarga di 19 PPS.
Bagaimanapun Johor Bahru mencatatkan penurunan dengan 1,216 mangsa daripada 356 keluarga di enam PPS manakala Mersing meningkat kepada 722 mangsa daripada 214 keluarga di lapan PPS.
Menurut Azmi, Kulai mencatatkan mangsa banjir seramai 630 membabitkan 156 keluarga di tiga PPS, Pontian membabitkan 364 mangsa daripada 90 keluarga di lima PPS.
“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk ke atas semua 6 daerah negeri ini membabitkan Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Mersing, yang diramalkan sehingga esok.
“Namun kesemua 10 daerah negeri ini diramalkan akan terus mengalami hujan hari ini sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya.
Azmi juga memaklumkan, sebanyak 13 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya, setakat pukul 8 pagi ini.
Ia membabitkan masing-masing lima di Segamat, tiga di Tangkak, tiga di Batu Pahat, serta masing-masing satu di Muar, Kota Tinggi dan Kluang.
“Antara yang sangat berisiko menyebabkan limpahan ke daratan termasuk Sungai Johor di Kota Tinggi yang melepasi paras bahaya dengan merekodkan 10.32 meter pagi ini.
Di Batu Pahat pula membabitkan Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok yang dilaporkan melepasi paras bahaya 20.15 meter manakala Sungai Endau di Kampung Contoh melepasi paras bahaya di 15.83 meter.
