Lengkapkan masjid dengan ICT – Sultan Selangor

KLANG 2 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua masjid di negeri ini menyediakan kelengkapan teknologi dan maklumat (ICT) bagi merekod dan memantau semua aktiviti ceramah atau kuliah.

Justeru titah baginda, semua nazir boleh memperuntukkan sebahagian daripada kewangan masjid masing-masing untuk menyediakan kelengkapan berkenaan.

Kelengkapan berkenaan antara lain boleh merekod dan memantau ceramah atau kuliah yang cuba menyelit unsur politik, menghina, mengumpat, menfitnah dan mencaci mana-mana pihak.

Lebih penting, Sultan Sharafuddin bertitah, perjalanan ceramah mudah untuk dipantau serta dirujuk semula apabila diperlukan.

Baginda bertitah, kelengkapan itu akan turut memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah boleh dibuat secara langsung atau dalam talian yang boleh dikongsi mereka yang tidak hadir.

Dalam era komunikasi digital, penggunaan teknologi tinggi dan data digital amat diperlukan kerana masjid boleh berfungsi lebih baik sebagai pusat maklumat yang membekal data kepada semua agensi agama seperti MAIS, JAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat, ahli kariah serta pihak lain.

“Melalui penggunaan teknologi ini juga, MAIS boleh memantau dan menyemak laporan kewangan semua masjid dan surau dengan kaedah dalam talian. Ini boleh mengelakkan berlaku penyelewengan dalam pengurusan kewangan masjid dan surau di negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid di Selangor 2023 di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Antara menerima watikah ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta bekas Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Petronas Dagangan Bhd, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, masing-masing sebagai nazir Masjid An-Nur dan Masjid Al-Falah di Subang Jaya.

Sultan Selangor juga bertitah, masjid perlu dijadikan asas dan medium utama umat Islam untuk bersepakat, tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, perbezaan pandangan dan fahaman politik masing-masing.

“Beta tidak berkenan masjid dijadikan medan politik dan propaganda politik kepartian. Masjid tidak seharusnya menjadi jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik.

“Kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid-masjid juga tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform untuk menghina, mengumpat, menfitnah dan mencaci mana-mana pihak.

“Jika perkara ini berlaku, ia akan menyebabkan persengketaan berpanjangan dan akan merosakkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam,” titah baginda.

Menyedari kesan negatif sedemikian kepada perpaduan umat Islam, khususnya di negeri ini, baginda menitahkan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak membenarkan orang politik menjadikan masjid dan surau pentas ceramah politik.

“Program memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh mereka yang mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS,” titah Sultan Selangor.

Titah baginda, penceramah luar negara pun hanya diberi kebenaran untuk menyampaikan kuliah, ceramah dan tazkirah di beberapa masjid tertentu sahaja.

Masjid berkenaan ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyber Jaya sahaja.

Baginda turut menasihatkan semua nazir dan imam masjid agar dapat mentadbir masjid dengan cekap, efisyen, telus dan profesional mengikut undang-undang dan peraturan serta titah beta.
.
“Beta berharap dan menasihatkan agar pegawai masjid, khususnya nazir dan imam agar terus memelihara kemuliaan institusi masjid daripada dicemari elemen yang boleh merosakkan akidah, perpaduan dan kesatuan ummah,” titah baginda lagi.

Related posts

Leave a Comment