Enam rebut Ketua, 42 isi 20 Exco Puteri

KUALA LUMPUR 2 Mac – Enam orang ‘puteri’ mengesahkan untuk merebut jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan 11 Mac ini selepas masing-masing mendapatkan nombor calon hari ini sebagai panduan perwakilan pada pemilihan nanti.

Cabutan nombor calon-calon Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sempena Pemilihan UMNO bagi penggal 2023/2026 itu berlangsung di Menara Dato’ Onn hari ini.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), sebanyak 55 orang calon telah mengesahkan diri bagi mengisi jawatan-jawatan yang dipertandingkan untuk pergerakan itu.

Daripada jumlah itu, dua orang calon masing-masing mengesahkan untuk bertanding jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga untuk Naib Ketua dan 42 cakon untuk mengisi 20 jawatan Exco Puteri.

Mendahului senarai bagi jawatan Ketua Puteri, adalah Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin atau Sis Lin yang mendapat No. 1 diikuti Dr Masliha Harun No. 2; Nurul Amal Mohd Fauzi atau Along No. 3; Khaidirah Abu Zahar atau Dira No. 4; Fadwah Anuwar No. 5 dan Nurul Hazwani Haslan No.6.

Bagi Naib Ketua Puteri, calon yang memegang No.1 adalah Siti Sokhleha Nordin, No.2 milik Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani dan No.3 adalah Rina Farhana Abdullah.

Sementara itu, Setiausaha JPU, Datuk Mustapha Yaakub, berkata, proses cabutan undi bagi Puteri berjalan lancar.

“Kita berharap mereka akan menggunakan kemudahan yang ada terutamanya media sosial untuk meneruskan kempen berbaki lagi sembilan hari,” katanya.

Mustapha juga berharap semua calon bertanding atas semangat keluarga UMNO dan berhati-hati ketika berkempen agar kelayakan mereka tidak terbatal atau dibatalkan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Bertandinglah atas semangat keluarga UMNO … bukan untuk menang, kemudian menidakkan orang lain. Kita nak jual ikan kita, juallah ikan kita. Jangan kata ikan orang lain buruk kepala.

“I wish all of them the best. Selamat bertanding dan mudah-mudahan berjaya,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari lalu.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian akan berlangsung pada 11 Mac ini dan pada hari yang sama
akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Related posts

Leave a Comment