KOTA KINABALU 21 Feb. – Bukan satu kejutan apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor sebelum ini mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta.
Lima ADUN itu Dr Yusof Yacob (Sindumin); Jasnih Daya (Pantai Dalit); Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Hamid Awang (Balung) dan James Ratib (Sugut) juga mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Pengumuman keluar UMNO serta menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor dibuat pada satu sidang media khas yang dipengerusikan oleh Dr Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat adalah tiga ADUN Warisan yang meninggalkan parti itu baru-baru ini iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chrn Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).
Beberapa anggota UMNO dan Warisan juga mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.
Dr Yusof berkata, beliau bersama rakan-rakan telah memikirkan semasak-masaknya mengenai hala tuju politik mereka di Sabah berdasarkan beberapa prinsip termasuk memahami perlunya Kerajaan Negeri yang kuat dan stabil, bersatu padu untuk mencapai pembangunan dan kemajuan Sabah.
Katanya , mereka juga menyedari bahawa pemimpin-pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah Sabah-based party untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan melaksanakan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Oleh itu, kami lapan orang ADUN dan pemimpin-pemimpin pelbagai peringkat serta dari berbagai-bagai latar belakang pada hari ini mengisytiharkan membuat keputusan, iaitu memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang beliau terajui.
“Memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” kata Dr. Yusof.
Untuk rekod, Sabah belum lagi mempunyai akta berkaitan antilompat parti, menyebabkan kedudukan ADUN Warisan dan UMNO ‘tidak selamat’, maknanya boleh sahaja berlaku tawar menawar atau ‘jual beli’.
Malahan ketika ini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap lima ADUN UMNO Sabah yang menyokong Hajiji malahan antara mereka dilantik menyertai Kabinet Hajiji termasuk sebagai Timbalan Ketua Menteri walaupun UMNO tidak merestuinya.
Fasal baharu Perlembagaan UMNO yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, iaitu fasal 20.11.1 antara lain menyebut, keanggotaan tergugur secara automatik jika ahli UMNO itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau DUN Bebas.
