Ketua Muda Pejuang letak jawatan

SEPANG 11 Dis. – Ketua Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Huddin mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Abu Hafiz berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk rasa bertanggungjawab atas prestasi parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berharap, kepemimpinan baharu sayap pemuda mampu mengemudi Pejuang Muda dengan lebih baik dan cemerlang.

“Jutaan terima kasih dan penghargaan diucapkan buat Tun Dr Mahathir Mohamad, kepemimpinan utama parti dan teman-teman kepimpinan Pejuang Muda Malaysia atas kepercayaan bagi menggalas amanah sebagai Ketua Pejuang Muda Malaysia.

“Pengalaman yang digarap selama ini akan dijadikan ilmu yang sangat berguna, Insya-ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada PRU15, Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon untuk bersaing di 125 kerusi.

Sementara itu, Ketua Pejuang Muda Selangor, Rahmat Fitri Shah Hamdan turut mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pejuang Muda Selangor berkuatkuasa hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk rasa tanggungjawab atas prestasi Pejuang dalam PRU15.

“Semoga kepemimpinan baharu sayap pemuda Pejuang mampu mengemudi Pejuang Muda dengan lebih baik dan cemerlang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment