Muhyiddin kecewa tindakan Hajiji

KUALA LUMPUR 11 Dis. –  Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menegaskan Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun mantan Pengerusi, Hajiji Noor, dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Naib Presiden Bersatu Dr Ronald Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

“Beliau bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT Bersatu dan MT PN,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menyatakan rasa kecewa dengan sikap mantan kepemimpinan Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen PN di peringkat Persekutuan.

Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU 15, Muhyiddin berkata, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

 

Related posts

Leave a Comment